Wednesday 27 February 2013

Wanita Kena Bijak Memilih Rakan Berkongsi Masalah Rumah Tangga


Pada hari ini ramai dari kalangan kita gemar berkongsi rahsia  atau masalah rumah tangga dengan rakan-rakan dan jiran berbanding dengan ibubapa atau adik beradik sendiri. Tak kisahlah nak kongsi rahsia apa pun atau nak mengadu masalah rumah tangga kepada rakan-rakan atau jiran,setiap individu mempunyai pilihan sendiri sama ada nak kongsi dengan rakan-rakan, jiran atau ahli keluarga. Tapi apa yang penting kita mesti pastikan tempat nak berkongsi rahsia atau masalah adalah orang yang benar-benar boleh dipercayai terutamanya  jika nak berkongsi masalah rumah tangga sendiri.

Siapa yang tak sayangkan rumah tangga. Berkahwin bagi wanita cukup hanya sekali. Kalau boleh biar ajal yang memisahkan suami isteri. Namun percaturan hidup dalam perkahwinan memang banyak likunya. Hati kena kuat, jiwa kena tabah jika mahu rumah tangga kekal utuh sampai akhir hayat. Jangan sesekali mengutip cerita yang tak pasti di tepi-tepi jalan atau di tangga rumah-rumah jiran. Kita bimbang apa yang dikabarkan oleh orang lain boleh membawa akibat buruk pada rumah tangga kita sendiri. Jika cerita yang disampaikan mengenai suami sendiri, jangan sesekali mengiakan dengan terus mempercayainya. Jangan biarkan orang lain lebih tahu siapa pasangan kita berbanding diri kita sendiri. Apa yang diceritakan itu, ambil untuk cari kebenaran dan menyelesaikannya dengan bijak. Umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung pula tidak berselerak.

Ini kerana jika kita membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah tangga kita, belum tentu perkara mudah dapat diselesaikan dengan mudah. Bimbang perkara mudah menjadi kusut dan perkara kusut langsung tak jumpa punca penyelesaiannya dan terus terputus. Jika bermasalah, lihatlah dulu siapa rakan kongsi yang boleh diluahkan perasaan untuk melegakan hati. Takut jika tersalah tempat meluah perasaan, bukan hati semakin lega tetapi bara makin panas kerana diapi-apikan oleh tuan penasihat.

Tempat pertama yang patut anda tuju adalah hati sendiri. Selidik sedalam-dalamnya dengan tenang. Ramai yang berkata, ubat paling mujarab adalah diri sendiri. Apalagi dalam soal merawat penyakit di dalam jiwa. Orang lain hanya boleh berkata ‘Bersabarlah’, ‘kesiannya’ atau paling tidak pun memberi kata-kata motivasi. Selebihnya terpulang pada diri sendiri. Adakah kita kuat menerima ujian atau sanggup membiarkan diri roboh terkulai dek tidak mampu menahan gelora hati.

Tempat lain untuk mencari ketenangan selepas berkomunikasi dengan diri sendiri adalah keluarga, terutama ibu (jika masih ada). Kerana tidak ada seorang pun mahu anaknya dilanda ribut dalam rumah tangga. Merekalah tuan penasihat yang jujur dan ikhlas, biarpun ada segelintir kecil ibu yang ‘terlupa’ peranannya sebagai tempat anak mengadu.

Jiran bukanlah tempat yang tepat untuk kita bercerita masalah rumah tangga. Biarpun Islam amat menganjur agar kita menjalinkan hubungan baik dengan jiran tetangga, tetapi urusan yang satu ini, tak perlu dikongsi bersama. Sayangi jiran tidak semestinya dia harus tahu semua kemelut kita, kecuali kita memang mempunyai jiran yang benar-benar jujur dan kita tahu kejujurannya dalam menyimpan rahsia. Kita bimbang menceritakan masalah dalam rumah tangga kepada orang yang kita tidak pasti keikhlasannya akan memburukkan keadaan, malahan ia boleh menjadi seperti senjata makan tuan. Lebih baik simpan masalah itu dulu di dalam hati.

Oleh itu, pandai-pandailah kita membawa diri sebelum membongkar kisah peribadi. Kawan dan jiran yang baik pasti tahu had-had dan batasan mereka sebagi kawan dan jiran, termasuk diri kita yang menjadi jiran dan kawan kepada orang lain.

Tip Rumah Tangga Bahagia




i. Berkasih Sayang

ii. Saling Mengambil Berat

iii. Menghargai Perkahwinan

iv. Ada Senda Gurau

v. Selalu Berdoa Agar Rumah Tangga Sejahtera

vi. Saling Melengkapi Antara Satu Sama Lain

vii. Saling Percaya

viii. Saling Menghormati

" Seorang Musllimah dilahirkan ke dunia ibarat sebutir permata, apabila digilap akan memancarkan kilauan cahaya. Apabila diletak di tempat yang mulia akan disanjung sebagai permaisuri. Apabila dibekal dengan ilmu di dada akan menjadi cendekiawan bistari. Seorang muslimah akan dikenang sebagai suri sang jejaka, menjadi ibu kepada puteri dan putera dan menjadi pertiwi seisi buana."
Tuesday 26 February 2013

Resepi Perkahwinan Bahagia


Jom muslimah-muslimah sekalian kita buat resepi perkahwinan bahagia ini setiap hari. Pasti hasilnya lebih menarik dan tambah bahagia, InsyaAllah.

2 kg          penuh pegangan teguh kepada Tuhan dan ajaran agama
1 kg          rasa cinta dan kasih sayang yang sentiasa membara
1 kg          rasa kesyukuran dan ketakwaan
4 cawan    rasa tanggungjawab
3 cawan    daya penambat hati (daya tarikan termasuk penawar dan pelembut hati)
2 cawan    penuh puji-pujian, kemesraan dan gurau senda
2 cawan    pati kemanusiaan
2 cawan    keyakinan diri masing-masing, dorongan dan sokongan
1 cawan    perasaan timbang rasa
1 cawan    tolak ansur dan toleransi atas segala kesilapan dan kelemahan-kelemahan 
                pasangan
2 gelas     ucapan terima kasih untuk disiram selalu
1 sukatan  peruntukan kewangan yang mencukupi
2 orang     anak kecil sekurang-kurangnya
4 cawan    penuh pengucapan maafkan daku ( ini juga sangat penting untuk kita jadikan 
                amalan diet kita
secubit     campur tangan mertua. Curahkan kerjasama yang perlu dan persediaan kerja 
                berpasangan dan perkongsian.


Cara Membuat Atau Mengamalkannya :

1. Kita adun dengan cermat semua bahan-bahan di atas dan asingkan rasa cemburu, curiga, 
    sikap mengkritik, sikap marah dan sakit hati.

2. Isingkan dengan bunga-bunga cinta yang segar dan panaskan dangan bara api kesetiaan 
    dan kejujuran

3. Hiaskan dengan dua orang anak kecil dan bolehlah ditambah mengikut selera dan 
    kemampuan diri masing-masing.

PERINGATAN : 
Jangan sekali-kali dihidangkan dengan sikap dingin dan lidah yang berbisa. Makanan kalau sesedap mana pun jika dihidangkan dengan sikap dingin akan menjadi hambar. Hiaskan dengan senyuman manis penuh kasih sayang.

CADANGAN :
Sesekali bawalah hidangan ini untuk dinikmati bersama di tempat peranginan ketika berbulan madu agar kemanisannya tetap kekal.

Seperti juga masakan, kita mesti menaruh serbuk perasa. Serbuk perasa resepi perkahwinan bahagia ialah keimanan, kesabaran dan kesungguhan kita untuk mencapai kebahagiaan tidak kira berapa besar pun pancaroba yang melanda. 

Laman Sosial Punca Keretakan Rumah Tangga


Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah..hari ini aku masih di beri nafas dan kesempatan untuk menulis entry seterusnya. Terima kasih ku padaMu Ya Allah kerana engkau masih memanjangkan usia ku untuk bersama orang-orang yang aku sayang.

Baiklah, hari ini aku ingin bercerita sedikit mengenai laman web sosial yang menjadikan punca keretakan rumah tangga. Anda sedar atau tidak, pada masa kini seakan menjadi satu trend di kalangan rakyat Malaysia untuk memiliki sekurang-kurangnya satu akaun laman web sosial seperti Facebook, Twitter, Myspace dan sebagainya. Tapi tanpa disedari penggunaan laman web sosial ini telah mengancam keharmonian institusi perkahwinan. Lebih-lebih lagi apabila pasangan mula ketagih ' Berfacebook' sehingga mengabaikan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Tapi…tapi..tapi…bukan sahaja facebook,twitter,myspace yang menjadikan punca keretakan rumah tangga malah berblogging juga mampu mengancam keharmonian rumah tangga.Anda percaya atau tidak? Jom kita bincangkan sedikit kenapa blog boleh juga menyebabkan keretakan rumah tangga. Sama seperti ketagihan berfacebook, ada sesetengah orang ketagih berblogging sehingga tiada masa bersama suami atau isteri dan anak-anak. Apabila suami atau isteri terlalu asyik melayan blog sampai jam 3 pagi bukankah itu akan melukakan hati pasangannya(Obses Berblogging) sehingga menyebabkan komunikasi suami isteri renggang. Bila dah jadi macam itu, sudah tentu ianya menyumbang kepada keretakan rumah tangga.

Ada juga sesetengah orang menggunakan blog sebagai tempat untuk meluah tentang hal isteri atau suami, masalah rumah tangga dan sebagainya.Ada kalanya bukan sekadar berkongsi masalah sahaja tetapi juga melepaskan rasa geram dan meluahkan segala yang terpendam. Ada suami atau isteri yang tidak suka apabila kisah rumah tangga di paparkan lebih-lebih lagi dalam blog.Tanpa tidak di sedari hal ini boleh memberikan anda point  meretakkan rumah tangga sendiri. Kenapa?Apabila diketahui pihak suami atau isteri, ia akan mengundang kemarahan dan seterusnya mencetuskan pergaduhan hingga ada kalanya berlarutan membawa kepada penceraian.

Sebenarnya terpulang kepada setiap individu. Sama ada suami atau isteri, mereka perlu mempunyai kesedaran bahawa terdapat batasan yang perlu mereka ikuti. Kawalan ini sangat penting agar mereka tidak melakukan sesuatu di luar jangkauan hingga menggangu kerukunan rumah tangga.

Sebaiknya jangan disebarkan masalah rumah tangga kepada orang luar kerana rahsia rumah tangga tidak boleh diceritakan kepada orang lain memandangkan ia isu sensitif. Ia umpama membuka pekung di dada sendiri yang ada kalanya mengaibkan diri sendiri dan pasangan.



Panduan Facebook/Blog Untuk Suami Isteri

1.Niat Ikhlas Dan Baik                                                                                                      
Pastikan niat berfacebook atau berblog untuk kebaikan diri sendiri dan keluarga. Bukan untuk mencari keseronokan  semata-mata

2. Tetapkan Masa Tertentu
Pastikan masa yang sesuai untuk melayari facebook/ menulis entry dalam blog dan peruntukkan had masa tertentu. Jangan sepanjang masa hingga mengabaikan tanggungjawab sedia ada sama ada sebagai pekerja atau pelajar, juga sebagai suami atau isteri atau ibu bapa atau pun anak.

3.Utamakan Pasangan Dan Ahli Keluarga
Jangan jadikan facebook / blog keutamaan sebaliknya dalam kesibukan menggunakan internet atau facebook atau blog, letakkan pasangan atau ahli keluarga yang lain di takhta teratas.




Sunday 24 February 2013

Cara Elak Alahan Debu


Alergi terhadap Hama Debu Rumah (HDR) memang fenomena yang sangat biasa. Bahkan, HDR memainkan peranan yang sangat penting dalam menyeb bkan penyakit “allergic rhinitis” (AR)/alahan hidung, asma dan “eczema”

Bagaimana Anda Tahu Anda Menghidapi Alergi HDR

Semasa membersihkan bilik, menyapu lantai, menukar kain cadar, membersihkan buku- buku cerita lama kegemaran anda, atau memasuki persekitaran yang berhabuk, anda tiba-tiba mulai merasa hidung anda tersumbat dan meleleh. Mata terasa gatal dan air mata mula menitis sementara anda bersin tidak terhenti-henti.

Anda mungkin mempunyai alergi terhadap debu atau lebih tepatnya ... hama debu. 


Langkah Terbaik Agar Masalah Alahan Tersebut Tidak Lagi Menganggu 
  • Mulakan dengan menutup penghawa dingin terlebih dahulu dan mula membersihkan filter. Lakukan secara bersekala.
  • Kerap mencuci sarung bantal, selimut, cadar dan lapis sofa sekurang-kurangnya seminggu sekali. Ini bagi memastikan debu tidak terkumpul selama berhari-hari serta tidak menimbulkan alahan di kemudian hari.Basuh dengan air panas.
  • Pakai penutup muka “mask” semasa pembersihan untuk mengelakkan menghirup allergen (apa-apa bahan yang dapat menimbulkan reaksi alergi). 
  • Ketika berada di dalam rumah, pastikan tingkap yang menghadap secara langsung ke arah jalan dalam keadaan tertutup. Jika anda menggunakan penghawa dingin, pililah penghawa dingin yang berfungsi sebagai sirkulasi udara.
  • Duduk di rumah jika cuaca di luar panas, kering dan berangin. Ini kerana waktu begini merupakan waktu di mana kadar debu di udara paling tinggi
  • Hindari menjemur pakaian di luar rumah. Anda boleh menjemur pakaian di dalam kawasan rumah dengan dinding yang telus pandang
  • Setelah melakukan aktiviti di luar, pastikan mandi dengan segera dan bersihkan rambut bagi menghilangkan debu yang melekat. Kemudian pakailah pakaian yang bersih.

Kepentingan Simpan Susu Dengan Cara Yang Betul



Apa yang kita sedia maklum, susu dikenali sebagai minuman pelengkap yang berprotein dan juga kaya dengan kalsium. Meski susu memberi manfaat nutrisi bagi kekuatan tulang, namun kita juga harus ingat bahawa susu juga boleh menjadi tempat bagi bakteria untuk berkembang jika tidak disimpan dengan baik. Dibawah saya kongsikan beberapa tip cara penyimpanan susu, agar susu awet dan tetap selamat untuk diminum.

Tip Tata Cara Penyimpanan Susu
  • Untuk susu yang masa tertutup, anda boleh simpan di dalam peti sejuk. Tapi pastikan susu tersimpan dengan baik pada suhu 1- 4 °C. Dan pastikan susu yang diletak dalam peti sejuk ditempatkan pada bahagian tengah peti sejuk. Elakkan menyimpan susu pada bahagian pintu peti sejuk kerana ia akan membuat kualiti susu akan berkurang disebabkan suhu yang berubah-ubah ketika membuka dan menutup peti sejuk.
  • Bagi menyimpan susu tepung di dalam jumlah yang banyak, sebaiknya simpan susu di bekas yang tertutup rapat dan boleh juga di simpan dalam bekas kedap udara yang tertutup. Kemudian, letak dalam peti sejuk dengan suhu 10 - 15°C
  • Sebaiknya habiskan minum susu cair yang telah dibuka pada hari yang sama. Ini kerana, kebiasaan kita suka menuang susu dan kemudian memasukkannya semula ke dalam peti sejuk selama berhari-hari.Anda tahu tak, dengan cara inilah tanpa anda sedari akan menyebabkan susu rosak serta mudah dicemari bakteria.
  • Untuk susu pekat manis yang telah dibuka, simpanlah di dalam peti sejuk. Pastikan korang tidak menggunakannya lagi selepas 20 hari.
  • Jangan lupa untuk selalu memerhatikan tarikh luput susu setiap kali anda membelinya atau setelah beberapa hari penyimpanan.
* Kepada korang-korang sekalian pastikan susu masih berada dalam keadaan baik sebelum minum tau. Jaga pemakanan agar tidak memudaratkan diri sendiri.

Thursday 7 February 2013

Al-Fatihah untuk adik Ahmad Adam Syukri


Anda mesti ingat lagi pada adik Ahmad Adam Syukri, bayi kecil yang meruntun hati semua masyarakat. Dan  7 Februari 2013, adik adam telah kembali pada pencipta-Nya. Al-Fatihah buat adik Ahmad Adam Syukri.

Syurga menantimu di sana sayang...Sebak hati bila membaca dan menatap gambar anak kecik ini. moga Allah memberikan yg terbaik utknya..Allah sayangkan Adam sebab Adam seorang mujahid kecil yg tabah melawan penyakit.. takziah kepada Puan Noraisah dan suami di atas pemergian adik adam syukri.



Kepada sesiapa yang belum mengetahui kisah adik Adam Ahmad Syukri. Di bawah ada kisah megenai penyakit adik adam :

AHMAD ADAM SYUKRI lahir pada 4/3/2012 dan telah mengalami Brain Damaged Severe HIE atau lebih dikenali sebagai kerosakan pada saraf otak.

Adam lahir secara vacuum dan sewaktu kelahirannya Adam keluar dalam keadaan flat dan kekurangan oksigen
Scan MRI pada 9/3/2013 menunjukkan otak dalam mengalami kerosakan yang amat teruk.
Adam tidak pandai menelan air liur dan bergantung pada mesin oksigen untuk terus hidup.
Perlu bergantung pada mesin suction kerana adik adam tidak pandai telan air liur untuk sedut air liur dalam ringga hidung dan mulutnya.
Mata kanan adam mengalami injured, begitu juga dengan telinga sebelah kanan yang tidak dapat mendengar kerana kerosakan pada bahagian dalam telinganya.
Doktor pakar otak mengesahkan adam akan terlantar seumur hidup dan peluang untuk berjalan dan hidup seperti kanak-kanak normal amat tipis.
Doktor pakar otak mengklasifikasikan kerosakan otak adam sebagai kematian saraf otak.




Khas Buat Suamiku


Suamiku yang tercinta,
Sekiranya ada benci yang tercipta,
Ada amarah mengundang sengketa,
Akibat kurangnya layanan adinda,
Berilah masa tuk dinda berusaha.

Suamiku yang disayangi,
Andai hatimu terguris luka,
Dek kata-kata menghiris jiwa,
Kerna perbuatan menghunus duka,
Maafkanlah daku yang tak sempurna.

Suamiku yang dikasihi,
Sekiranya suatu hari nanti,
Kasihmu tak lagi setebal kini,
Maka renung dan imbaslah kembali,
Mengapa kita bisa saling mengasihi.

Suamiku yang dirindui,
Andai ada dendam antara kita,
Sehingga cinta pun tak lagi bermakna,
Ku mahu kita kekal bersama,
Hidupkan kembali cinta yang telah sirna.




Ketika tanganmu ku kucup, hatiku penuh pengharapan agar kau ampunkan setiap dosa-dosaku, redhai aku sepanjang hidupku bersamamu. Aku masih lagi berusaha menambah ilmu dalam membina mahligai kita. Sungguh cetek pengetahuanku, sungguh sedikit nilai kesabaranku, adakah aku mampu membahgiakan mu? dapatkah aku menjadi isterimu yang paling solehah? Namun aku akan terus berusaha dan terus berusaha sehingga nafas terakhir ku untuk mewujudkan keluarga yang sakinah, mawadah, warahmah.







Friday 1 February 2013

Tips Hilangkan Rasa Sakit Ketika Senggugut




Actually, hari ini aku nak cerita dan kongsi sikit pasal sakit senggugut ni sebab aku pun mengalaminya even aku dah berkahwin tapi belum pernah melahirkan anak. Mungkin sebab tu la dari remaja hingga la aku dah kahwin setiap kali datang bulan aku mesti rasa sakit senggugut. Aku selalu juga dengar orang kata masa belum kahwin memang rasa sakit setiap kali datang bulan tapi bila dah kahwin dan lepas dah melahirkan ank sakit senggugut tu akan hilang sebab masa proses melahirkan ank semua darah kotor dalam rahim dah terbuang. Kita sebagai perempuan semestinya tahu pasal penyakit ni dan yang lebih penting hanya perempuan je tahu kesakitan bila kena sengugut ni . Bila setiap kali datang bulan mesti akan rasa sakit, sampai guling2 atas katil, sekeliling pinggang pula terasa amat sakit..emosi jgn cakap la sentiasa moody memanjang. Kesakitan ni menggangu tugas2 harian ku di rumah mahupun tugas2 di office.

Kalau korang nak tahu, sakit perut ketika haid ini dikenali sebagai senggugut ataupun terminologi perubatannya ialah "dysmenorrhoea". Senggugut ni sebenarnya bukan sekadar kekejangan teruk ketika haid, tetapi ia turut menjadi petanda penting supaya semua wanita yang mengalami masalah ini menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan endometriosis( tp aku tak buat pemeriksaan pun). Senggugut ni ada dua jenis iaitu senggugut primer dan sekunder. Senggugut primer adalah disebabkan oleh pengeluaran prostaglandin yang menyebabkan pengecutan rahim yang kuat. Kesakitan senggugut ini berlaku hanya untuk satu atau dua hari saja sewaktu pendarahan haid. Manakala senggugut sekunder pula disebabkan oleh endometriosis (wujudnya sel endometrium di luar rahim dan berlaku pendarahan di dalam perut) atau jangkitan kronik yang menyebabkan senggugut datang kebiasaannya pada usia lanjut dan bertahan sepanjang pendarahan haid.

Biasanya kalau sakit, aku tak telan ubat tahan sakit sebab tak elok kalau kita kerap makan panadol bila setiap kali datang haid. Lagi pun bab2 ubat bagai aku memang tak makan kecuali sakit yang teramat sangat. Selagi aku masih boleh tahan sakit(apa2 je la sakit), aku akan tahan tanpa makan ubt dengan mencari altenatif lain dengan cara tidur kecuali sakit yang aku memang dah tak boleh tahan punya baru aku makan ubt. Dalam setahun boleh kira guna jari je aku makan ubat hihi. Menurut kajian yang telah aku cari makan ubat dengan kerap tak baik untuk kesihatan ia akan memberi effect kepada organ hati dan buah pinggang kita.

So, dekat sini ada beberapa tips yang sering aku lakukan bagi hilangkan rasa sakit senggugut ni. Sekadar ingin berkongsi sahaja especially kepada kaum2 perempuan. Sharing is caring right?

Sedikit tips hilangkan sakit senggugut:

1) Panaskan air. Cari la botol mineral yang kecil atau besar letak air yang panas tadi (campur sedikit air sejuk supaya botol tak kemek ) . Ambil botol mineral yang suam2 tadi letak kat atas perut. Insyaallah dapat mengurangkan sedikit rasa sakit.

2) Elakkan minum minuman bergas dan minum minuman berais, lebihkan minum air suam/panas atau air kosong

3) Makan la makanan yang panas2 dan berkuah (aku makan bakso je sb sup dia panas2) 

4) Minum air yang ada halia sebab halia boleh membantu lancarkan darah dan hangatkan badan. Kalau rajin buat teh o halia atau air halia kosong(aku selalu praktikan minum minuman ni even dekat office aku akan tapau teh o halia). Hasilnya Alhamdulillah.

5) Pastikan badan sentiasa hangat. Sapu la apa2 pun minyak kat kaki, jari2 dan sapu juga minyak kat perut dan pinggang(jgn letak minyak masak pula)

6) Cara ni memang aku selalu praktikkan iaitu tidur. Tidur adalah cara untuk menghilangkan rasa sakit senggugut. Biarkan rasa sakit tu sampai tertidur dengan sendirinya, insyaallah lepas bangun akan berkurang kesakitan tersebut.


*Kalau nak makan ubat pun boleh. Ubat panadol menstrual yang kaler pink tu(aku tak makan ubat) dan lebih baik jumpa doktor.

Itu sahaja la tips yang aku ingin kongsikan bersama korang . Tips2 diatas aku selalu praktikan bila sakit senggugut. Alhamdulillah rasa sakitnya hilang walaupun hanya untuk beberapa jam sahaja. Tapi sekurang2nya kita tak menanggung sakit tersebut selama 24 jam. Mungkin setiap orang caranya berbeza untuk menangani kesakitan senggugut. Kalau ada sesiapa nak kongsi tips selain dari yang aku praktikan diatas boleh la kongsi bersama (komen dan sebarang cadangan anda amat dialu-alukan)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tulis Dan Search Aje

Followers

Powered by Calendar Labs
Powered by Blogger.

Tags

Popular Posts

Jumlah Orang Intai-intai:-)